17 November 2016 - 06:28
Jabatan Negara A.S Kata Mereka Tidak Akan Layan Russia Today Seperti Media Lain.

Agensi Berita Russia Today (RT) telah mengutarakan soalan kepada Jabatan Negara A.S berkaitan dakwaan mereka bahawa Rusia mengebom beberapa buah hospital di Syria.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Agensi Berita Russia Today (RT) telah mengutarakan soalan kepada Jabatan Negara A.S berkaitan dakwaan mereka bahawa Rusia mengebom beberapa buah hospital di Syria. Akan tetapi pihak jabatan itu hanya mengulangi dakwaan itu tanpa memberikan maklumat lanjut serta menegaskan bahawa mereka tidak akan melayan RT seperti layanan mereka terhadap media yang lain.

Semasa sidang media Jabatan Negara pada hari Rabu semalam, John Kirby yang merupakan jurucakap jabatan tersebut menuduh Rusia dan kerajaan Damsyik telah mengebom 5 buah hospital dan sebuah hospital bergerak di Syria. Wartawan RT, Gayane Chichakyan menyoal Kirby dalam rangka memperolehi maklumat terperinci berkaitan dakwaan itu termasuk lokasi-lokasi hospital tersebut.

Kirby menjawab dengan mengatakan bahawa dia tidak mengetahui tentang lokasi tersebut.

"Saya tidak membuat dakwaan ini, saya cuma memberitahu kami bahawa kami telah melihat laporan-laporan kredibel daripada pertubuhan-pertubuhan bantuan yang lain," kata Kirby yang enggan menyatakan maklumat terperinci berkaitan serangan itu ataupun sekurang-kurangnya menamakan pertubuhan-pertubuhan yang mana jabatannya telah mendapatkan maklumat daripada mereka.

Dia sebaliknya mengkritik wartawan itu. "Di sini ada satu soalan yang bagus: Kenapa kamu tidal menanyakan Kementerian Pertahanan kamu tentang apa yang mereka lakukan di Syria? Kamu bekerja untuk RT, jadi apa kata jikalau kamu tanyakan sahaja soalan yang sama kepada kerajaan kamu seperti kamu menanyakan perkara itu daripada saya?" kata Kirby kepada Chichakyan.

Wartawan RT itu bagaimanapun memberitahu Kirby bahawa beliau memerlukan maklumat lanjut sebelum mendalami perkara tersebut.

Respon Kirby menyebabkan Matt Lee yang merupakan wartawan daripada agensi AP memilih untuk campur tangan.

"Hati-hati apabila bercakap seperti 'Kementerian Pertahanan kamu', dia seorang wartawan seperti kami yang lain," kata Matt Lee.

"Daripada sebuah agensi milik kerajaan!" celah Kirby. "Saya tidak akan menyamakan RT dengan kamu yang mewakili badan media yang bebas," tambahnya lagi.

Jabatan Negara kemudiannya memohon maaf daripada Chikchakyan melalui sebuah emel.